Dalam sehari dua ini menjadi sedikit heboh apabila Naib Canselor Universiti Malaya mengeluarkan arahan membaca al-Fatihah oleh pengerusi majlis menggantikan bacaan doa untuk majlis rasmi di Universiti.
Terdapat pelbagai komentar mengenai isu ini. Terdapat dua sisi komentar tersebut antaranya yang bersetuju dan paling tinggi ialah yang tidak bersetuju. Bahkan terdapat juga golongan yang menuduh Naib Canselor anti Islam. Saya kira tuduhan tersebut agak berat dan keterlaluan.
Pertama perkara yang perlu diketahui ialah membaca doa majlis rasmi adalah harus merujuk kepada majlis yang tidak dicampuri agenda maksiat. Jika dalam majlis rasmi itu terdapat nyanyian dan tarian tidak seharusnya terdapat bacaan doa, malah menampakkan penghinaan kepada amalan membaca doa.
Kedua, Doa itu sunnat dibaca, bukan doa itu wajib. Jadi doa tidak hanya dalam program rasmi bahkan perlu pada setiap masa dan keadaan.
Ketiga, digantikan dengan bacaan al-Fatihah, ini lebih dari doa-doa biasa. Al-Fatihah adalah ibu segala doa bahkan juga ia adalah sebaik-baik doa.
Keempat, menuduh VC sebagai anti Islam tidak wajar bahkan penuduh begitu mempunyai akhlak yang buruk dengan menuduh secara sembrono. Seharusnya rujuklah dalam sunnah Nabi Muhammad adakah Nabi membaca doa memilih majlis atau bagaimana doa baginda. Itu harus dirujuk.
Kesimpulannya, doa majlis tiada masalah tetapi yang bermasalah sekiranya majlis tersebut terdapat aktiviti maksiat.
No comments:
Post a Comment