Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Dalam perjalanan kehidupan kita sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan guru. Guru merupakan teman yang paling akrab dalam hidup kita. Banyak guru banyak pengalaman dan pembelajaran dapat ditimba daripada mereka.

Selamat hari guru kepada ibuku seorang Teacher Buni guru bahasa Inggeris. Ibu juga menjadi guru di rumah dan di sekolah. Emak panggilan mesra di rumah dan di sekolah disebut Teacher. Kenangannya banyak kali dirotan dan dicubit dihapan kelas mahupun perhimpunan. Terima kasih emak kerana memberi didikan sehingga boleh menjadi insan. Rotan mu depan perhimpunan telah memberi kesan sepanjang perjalanan hidup ini.

Guru al-Quran rasanya paling banyak bermula dengan Tok Cah, nenek saya yang masih mengajar al-Quran sehingga ke hari ini. Kemudian Teacher Fauziah mengajar Alif, Ba, Ta. Selepas habis muqaddam belajar lagi al-Quran dengan Ustaz Suhaimi atau digelar Abg Mi. Seorang garang dan penuh ketegasan. Saya habis al-Quran buat pertama kalinya dengan beliau. Pengalaman belajar dengan beliau ialah susah hendak ubah sekiranya terdapat satu dua kesalahan dalam pembacaan. Kesannya sampai ke hari ini bacaan al-Quran lengkap dengan tajwid dan makhraj menjadi sempurna kerana ketegasan beliau.

Seterusnya belajar dengan Ayah dan Ibu Ustaz Suhaimi. Belajar dengan ayahnya mudah diubah tempat baca dan ibunya memag garang dan susah diubah tempat baca. Walaupun habis al-Quran agak lambat lebih kurang darjah 5, tapi pada umur 12 tahun sudah pernah menjadi imam di masjid dan di surau. Lambat tapi bacaan tepat tidak seperti kanak-kanak hari ini, habis awal tetapi tidak sehebat mana bacaan mereka.

Tamat al-Quran dengan guru di kampung dan saya sambung lagi mengaji al-Quran dengan Tuan Haji Awang Noh, pada ketika itu umur saya 13 tahun, asal Kelantan. Banyak pelajaran daripada beliau diterima seperti waqaf Jibril dan tashil. Ini semua dalam pelajaran Qiraat. Dengan beliau saya sempat habiskan al-Quran dua kali dalam sebulan. Pada ketika itu bacaan saya cukup baik.

Seterusnya belajar menghafal dengan Ustaz Fatah Yassin. Saya sempat menghafal dua juzuk hasil tunjuk ajar beliau. Pada ketika ini saya berumur 14 tahun. Di antara amalan yang masih diingati sehinggak kini ialah solat hajat hafaz al-Quran yang diajar oleh beliau.Selepas itu saya belajar kitab-kitab fiqh dan tasawuf daripada beliau.

Selepas SPM terus ke Darul Quran tempat pengajian yang menjadi idaman pada masa tadika lagi. Saya tidak mengisi borang UPU, hanya Darul Quran sahaja berada di hati. Alhamdulillah. Belajar dengan Syeikh Tolbah, sempat habis 30 juzuk al-Quran bersama beliau. Selalu beliau berpesan kepada diri ini "Ya Miqdad jangan tinggal bacaan al-Kahfi malam atau pagi Jumaat". Pesanan ini menjadi pegangan sehingga kini. Bersama beliau juga sempat mengambil sanad bacaan al-Quran.

Ini semua adalah guru-guru al-Quran yang banyak sekali berjasa kepada diri ini. Tanpa mereka semua tiada diri ini untuk diletakkan sebagai pembaca al-Quran tegar. Dari kecil umur 6 tahun bercita-cita untuk menghafal al-Quran alhamdulillah tercapai hasil daripada bimbingan guru-guru semua. Saya percaya setiap kali saya membaca al-Quran guru-guru akan mendapat pahala.

Saya sentiasa mendoakan semoga tuan guru-tuan guru berada dalam keadaan mardha tillah. Doakan keampunan untuk guru-guru kita selepas setiap kali solat. Insyaallah ilmu itu akan menjadi berkat.

4 comments:

Nida said...

Selamat Hari Guru buat semua guru-guru. Kirim salam buat Fizah...

muqay said...

Maksu,

Selamat Hari Guru buat Maksu juga. Jaga diri elok-elok di sana.

LUKISAN PENA said...

"selmat hari guru..ust"
kenangan2 zman sek. ren. dulu..nostalgila beb..layan lagu nih..

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

muqay said...

Tuan Pena,

Terima kasih dengan lirik yang mengingatkan sesuatu yang berharga.

Tetapi satu persoalan, budak-budak zaman sekrang ini, ada masa manis ke?